
SERDANG, 18 Mei– Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 menyasarkan potensi pelaburan RM8 bilion dengan tumpuan terhadap usaha menarik lebih ramai golongan belia menyertai sektor pertanian moden.
- Pemeteraian MoU dan MoA sepanjang MAHA 2026 untuk memperkukuh kerjasama dan peluang pelaksanaan projek pertanian.
- Tema "Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan" menekankan pemodenan pertanian dan sasaran penglibatan kira-kira 800,000 belia.
- Penggunaan AI dan teknologi dron ditonjolkan untuk semaian benih padi serta kawalan dan pemantauan tanaman.
- Acara di MAEPS Serdang, 28 Ogos-6 Sept, menyasarkan lebih empat juta pengunjung serta pempamer tempatan dan antarabangsa.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata sasaran itu dijangka dicapai menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Persefahaman (MoA) sepanjang penganjuran MAHA 2026.
Tambah beliau, MAHA 2026 yang bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”, menekankan aspek pertanian moden turut menyasarkan penglibatan kira-kira 800,000 golongan belia.
“Kita juga perlu memberi semangat kepada golongan muda untuk menceburi bidang pertanian.”
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dibentangkan sebelum ini, penglibatan pekerja asing dalam sektor pertanian dilihat semakin aktif kerana mereka melihat bidang ini mampu memberi keuntungan yang baik,” katanya.
Datuk Seri Mohamad Sabu memberitahu media sempena Program Hi-Tea bersama penaja berpotensi MAHA 2026 menerusi sesi ‘Pitch and Connect @ MAHA2026’, di sini.
Acara dwitahunan itu dijadual berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 September depan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, dengan menyasarkan kehadiran lebih empat juta pengunjung, merekodkan nilai jualan langsung RM55 juta.
Selain itu, penganjuran kali ini dijangka menarik lebih empat juta pengunjung dan 2,000 pempamer tempatan serta antarabangsa.
“Kita harap rakyat Malaysia datang terutama yang terlibat dalam pertanian ini, mereka dapat melihat, dapat maklumat teknologi-teknologi baru yang digunakan dalam bidang pertanian ini seperti yang digunakan oleh negara-negara yang maju dalam pertanian seperti China, Taiwan, Belanda dan lain-lain negara,” tambahnya.
Antara elemen pemodenan yang diketengahkan termasuk penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi dron dalam aktiviti pertanian seperti semaian benih padi serta kawalan tanaman.
Menurut Datuk Seri Mohamad, sektor pertanian kini berkembang seiring perubahan teknologi dan inovasi semasa, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada generasi muda untuk menceburi bidang berkenaan.
Dalam pada itu, kementerian turut giat melaksanakan promosi MAHA 2026 di beberapa lokasi termasuk zon utara, Melaka, Klang, Kota Kinabalu, Labuan dan Kelantan bagi memastikan kejayaan penganjuran tersebut.
Antara tarikan utama yang bakal disajikan sepanjang MAHA 2026 ialah pameran Agrotech, Young Agropreneur, Magical Garden, pertunjukan laser, cahaya dan dron, Agro Safari, Kingdom of Agrofood serta Pavilion Negeri.