PUTRAJAYA, 22 Julai- Proses membawa pulang melibatkan lebih 124 pelajar Malaysia yang terjejas di Bangladesh akan disegerakan.
Ia susulan ketegangan yang semakin memuncak di negara itu.
Menerusi kenyataan media, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri (KLN) untuk menyediakan segala bantuan yang diperlukan ketika ketibaan rakyat Malaysia nanti.
Ia termasuklah menyediakan bantuan kaunseling, penginapan dan bantuan logistik.
Tambahnya, KPT turut menyambut baik dan berterima kasih keputusan Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KLN untuk melakukan evakuasi kepada keseluruhan rakyat Malaysia yang berada di sana.
Beliau turut berharap agar proses evakuasi itu berjalan lancar dan semua rakyat Malaysia di Bangladesh dapat tiba ke tanah air dengan selamat.