KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Pembinaan Rancangan Tembatan Banjir Sungai Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan diharap dapat dilaksanakan di bawah kluster infrastruktur kritikal menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata projek bernilai RM150 juta itu bertujuan melindungi kawasan lembangan sungai berkenaan sehingga tahap perlindungan 100 tahun.
Menurut beliau, projek itu akan memberi manfaat kepada 18,400 penduduk meliputi kawasan seluas 350 hektar, selain melindungi Skim Perairan Padi Bangka Hulu seluas 80 hektar dan Skim Pengairan Padi Kampung Ronda seluas 87 hektar.
“Saya berharap pihak konsultan yang dilantik dapat menyegerakan pelaksanaan projek ini dan tidak mengambil masa terlalu lama. Projek ini dijangka menyokong pembangunan ekonomi di daerah Tampin, khususnya di Gemas sebagai salah satu daerah pembangunan agropolis.
“Selain itu, projek ini penting dalam menjamin keselamatan bekalan makanan negara,” katanya ketika membahaskan usul RMK13 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas kelulusan peruntukan sebanyak RM2.3 juta bagi projek pembangunan Perkampungan Mini Budaya di Negeri Sembilan yang bertujuan memberikan pengalaman pelancongan berteraskan budaya serta mempromosikan keunikan Adat Perpatih.