KUALA LUMPUR, 13 Disember- Kementerian Pengangkutan telah mengenal pasti beberapa projek di bawah Projek Pemacu Ekonomi (EAP) untuk dilaksanakan di sepanjang jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Jelas Kementerian Pengangkutan, transformasi pembangunan ini menjadi nadi untuk aktiviti ekonomi, pelancongan dan perdagangan.
Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah berkata antaranya membina Stesen ECRL Kota Bharu di Bandar Baru Tunjong, Kelantan, selain di Bandar Baru Tok Bali.
"Cadangan pembangunan bagi stesen ECRL di Terengganu adalah pembangunan bandar lestari bagi lokasi terpilih yang berdekatan dengan stesen seperti stesen Jerteh dan stesen Kuala Terengganu.
"Di Pahang pula pelan cadangan ECRL adalah pembangunan bandar aero angkasa di stesen Cherating, pembangunan bandar Kota SAS , pembangunan bandar baru Marang dan Temerloh Smart City di stesen Temerloh antara pembangunan bandar- bandar baharu yang dijangka akan membangun dengan adanya jajaran ECRL," katanya.
Hasbi menjawab soalan yang di kemukakan Senator Hussin Ismail di Dewan Negara, hari ini.