SEREMBAN, 17 Disember- Projek Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0 disasar menjadi metropolis bertaraf dunia dengan sistem rangkaian infrastruktur pintar, selamat dan mampan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata, lokasinya yang strategik berdekatan dengan lebuh raya utama termasuk KLIA serta berpotensi bagi laluan pengangkutan moden seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).
MVV 2.0 merupakan pembangunan projek katalis yang signifikan dengan meletakkan Negeri Sembilan sebagai salah satu pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negara dan serantau pada masa akan datang.
"Meliputi daerah Seremban dan Port Dickson berkeluasan kira- kira 153,000 hektar, MVV 2.0 berpotensi menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan, inklusif dan inovatif.
"HSR dilihat dapat menjadi pemangkin transformasi sosio-ekonomi dengan menghubungkan kita semua kepada pasaran serantau dan global, mewujudkan kelompok ekonomi yang dinamik serta membuka peluang baharu untuk perdagangan dan pelaburan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Majlis Pecah Tanah MVV City di Seremban.
Projek MVV City merangkumi beberapa sektor pembangunan termasuk perumahan, komersial dan industri, serta pusat pendidikan dan inovasi.
MVV City boleh diiktiraf sebagai bandar raya bersepadu pertama dalam kawasan MVV2.0 dengan skala yang besar.