fb fb fb fb fb

Projek Lebuhraya WISE dijangka bermula 2026

Projek Lebuhraya WISE dijangka bermula selepas syarat perjanjian dimuktamadkan. Foto fail

IPOH, 9 September - Projek pembinaan Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) dijangka bermula sebaik sahaja syarikat konsesi memenuhi semua syarat perjanjian, yang dijangka dimuktamadkan pada tahun 2026.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, projek itu akan dilaksanakan secara penswastaan melalui kaedah Kerjasama Awam-Swasta (PPP).

“Pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sedang berusaha dengan beberapa pejabat daerah di setiap kawasan terlibat untuk memastikan proses ini dipercepatkan sebagaimana diarahkan oleh kerajaan Persekutuan supaya dapat dilaksanakan secepat mungkin. Masalah itu masih berpanjangan tetapi bukan menyeluruh, hanya di peringkat tertentu,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kepayang, Nga Kor Ming pada Mesyuarat Kedua Tahun Ketiga Dewan Negeri ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Beliau berkata, ketika ini proses pemilikan tanah masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan sepenuhnya.

Projek berkenaan turut melibatkan pengambilan 1,600 lot tanah dengan anggaran kos mencecah RM618 juta.

Cadangan pembinaan lebuh raya sepanjang 60 kilometer yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar telah diluluskan kerajaan pada Disember 2023, dan akan dilaksanakan menerusi pendekatan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) oleh pihak konsesi.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri turut menubuhkan Jawatankuasa Pertumbuhan Ekonomi bagi memantau kemajuan serta aktiviti pembangunan di sepanjang Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang merentasi 139.2 kilometer di Perak.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN