KOTA BELUD, 1 Oktober -Projek pembinaan Kem Paradise di Kota Belud yang bernilai RM179.7 juta kini berjalan lancar dan dijangka menjadi mercu tanda baharu dalam pembangunan infrastruktur pertahanan negara.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek itu dibina berkonsepkan reka dan bina (design and build) oleh kontraktor Ilmiah Perdana Sdn. Bhd bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Kem tersebut dibangunkan di atas tanah seluas 40.4 hektar merangkumi 42 komponen bangunan dan bakal menempatkan 5 Briged serta Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD).
Ia mampu menampung lebih 1,100 anggota tentera iaitu hampir empat kali ganda daripada kapasiti semasa iaitu 311 anggota, apabila ia siap sepenuhnya pada Ogos 2027 nanti.
"Jadi kawasan ini akan bertambah sibuk dan bertambah maju. Mudah-mudahan kita meneliti permohonan supaya rumah keluarga angkatan tentera itu dipercepatkan pelaksanaan dan kita juga mempertimbangkan supaya jalan 2km masuk ke kem ini diperbesarkan. Kerana saiz kenderaan tentera itu, biasanya kita dengar 4x4 tetapi saiz kenderaan tentera ialah 8x8," katanya kepada pemberita, di sini.
Beliau optimis kem ini turut dapat membuka peluang pekerjaan kepada belia tempatan dan berpotensi menjadi lokasi latihan ketenteraan bersama negara luar, termasuk Amerika Syarikat (AS).