(Geoffrey Harver berkata Asnafpreneuer meliputi sesi seliaan, latihan dan motivasi)
LABUAN, 23 Mei- Sebanyak 30 asnaf di Labuan bakal memanfaatkan sumbangan kewangan melibatkan jumlah keseluruhan RM150,000 menerusi program Projek Asnafpreneuer Bank Rakyat.
Program itu menepati komitmen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi membantu golongan usahawan yang terjejas pendapatan.
Ia turut melibatkan kerjasama Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Fakulti Kewangan Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).
Menurut Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa UMSKAL, Geoffrey Harver Tanakinjal, Asnafpreneuer meliputi sesi seliaan, latihan dan motivasi.
"Selalunya apabila sesebuah projek atau dana kewangan diberikan ia berkonsep jangka pendek. Tetapi program ini termasuk pemantauan selama enam bulan dan kita akan melihat perkembangan peserta," katanya di Majlis Pelancaran Projek Asnafpreneuer dan Jihad Pendidikan PPZ-MAIWP di UMSKAL yang dirasmikan Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohamad Hanis Osman.
"Fokus kita adalah daripada golongan asnaf dan alhamdulillah dengan kerjasama PPZ-MAIWP dan bantuan UMSKAL untuk memantau bimbingan, kita rasakan peluang kejayaan lebih tinggi berbanding kalau kita beri tanpa pemantauan. Kita harapakan tempoh enam bulan akan beri impak yang bagus," kata Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat Malaysia, Mohd Zamerey Abdul Razak yang mewakili Dr Mohamad Hanis.
(Mohd Zamerey berkata projek Asnafpreneuer Bank Rakyat bantu usahawan terjejas
pendapatan)