KUALA TERENGGANU, 12 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan program Tuisyen MADANI bernilai RM5.27 juta kepada 9,408 pelajar Terengganu dengan kerjasama seramai 614 guru sekolah.
Jelas Datuk Seri Anwar, Terengganu dipilih sebagai negeri pertama untuk pelaksanaan program itu sebagai tanda penghargaan atas pencapaian cemerlang dalam peperiksaan lepas.
"Saya hargai dan nampak Terengganu mencatat satu keputusan yang cemerlang, dan saya turut berasa bangga sebagai seorang bapa dan datuk.
"Saya ingin umumkan bahawa khusus untuk Terengganu dahulu, sebagai permulaan, bantuan kepada pelajar-pelajar ini akan disalurkan dengan kerjasama guru-guru sekolah sebagai tenaga pengajar.
"Untuk hari ini sahaja, bagi anak-anak sekolah di Terengganu, saya telah meluluskan sebanyak RM5.27 juta. Jumlah penerima adalah seramai 9,408 pelajar di seluruh negeri. Ini merupakan program pertama seumpamanya di Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu di Pasar Kedai Payang, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek