KUALA LUMPUR, 5 Januari- Tiga aspek utama perlu diberi perhatian serius dalam pengurusan keselamatan jalan raya terutama melibatkan kenderaan komersial seperti lori.
Aspek itu adalah pengurusan kenderaan, pengurusan pemandu dan pengurusan syarikat pengendali.
Pakar Perunding Kepimpinan dan Transformasi, Wan Noorul Qamar Wan Noor berkata, bagi tujuan itu juga pemantauan cara pemanduan dan kemahiran pemandu perlu ditingkatkan.
Penekanan tidak hanya diberikan dalam aspek pemanduan, malah merangkumi teknikal kenderaan, pemahaman undang-undang dan kesedaran manusia.
"Program pemanduan berhemah juga adalah amat penting untuk menyakinkan pemandu yang mereka adalah penting untuk menjadikan keselamatan jalan raya pada tahap terbaik.
"Kalau tidak dilatih secara berhemah, mereka akan bersikap seperti raja di jalan raya, itulah yang kita tidak mahu terjadi. Kita mahu mereka dilatih untuk memandu dengan selamat, bertimbang rasa," katanya.
Selain itu, pihak pengendali syarikat kenderaan perlu memberi perhatian khusus dan memantau waktu kerja dengan teliti bagi mengelakkan keletihan yang boleh menyebabkan kemalangan.
Beliau bercakap kepada pemberita di Wisma Berita, Angkasapuri.