SEREMBAN, 28 Disember - Program Jualan Rahmah yang dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan merekodkan jumlah jualan sebanyak RM10 juta.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, inisiatif itu telah memanfaatkan hampir 600,000 pengunjung bagi tempoh awal April lalu hingga bulan ini.
Katanya, KPDN negeri telah membelanjakan kira-kira RM2 juta daripada peruntukan disediakan bagi melaksanakan 300 program Jualan Rahmah.
"Penglibatan dan sokongan daripada pemain industri sektor peruncitan merupakan antara faktor kejayaan program yang mula dilaksanakan pada April lalu.
"Program itu dilaksanakan melalui kolaborasi dengan pemain industri sektor peruncitan bagi merancakkan ekonomi sektor peruncitan setempat selain membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Apresiasi dan Libat Urus KPDN negeri hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata KPDN negeri telah memeriksa sebanyak 33,802 premis perniagaan yang telah disita membabitkan jumlah keseluruhan RM7.76 juta bagi tahun ini.
"Menerusi tindakan penguatkuasaan di bawah Pos Tiris bagi membanteras penyelewengan diesel bersubsidi dari Mac hingga bulan ini, KPDN mengesan 76 kes membabitkan lebih sejuta liter minyak diesel," katanya.
Katanya, seramai 96 individu ditahan susulan kes tersebut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sekali gus dapat menyelamatkan hampir RM3 juta daripada diseleweng mereka yang tidak bertanggungjawab.
ARTIKEL BERKAITAN