fb fb fb fb fb

Isu penempatan: Penduduk Kampung Setia Jaya hargai usaha kerajaan

Mohd Asri Sapuan, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Setia Jaya

KUALA LUMPUR, 28 Disember- Penduduk Kampung Setia Jaya, Setapak di sini menghargai usaha kerajaan yang berjaya mendapatkan kata sepakat daripada pemilik tanah untuk melanjutkan tempoh menetap sehingga isu penempatan mereka diselesaikan.

Sehubungan itu, Pengerusi Persatuan Penduduknya, Mohd Asri Sapuan berharap penduduk tidak bertindak di luar jangka bagi mengelakkan peluang penempatan terjejas.

"Amat bersyukur dengan keputusan yang diberi oleh Yang Berhormat Parlimen (Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan) dan juga menteri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa) berkaitan dengan keputusan melanjutkan lagi tempoh menetap sehingga isu penempatan ini selesai.

"(Jadi) Kita harapkan penduduk jangan gusar dan jangan buat tindakan di luar jangkaan.

"Kita tidak mahu perkara ini akan menjejaskan peluang yang patut (penduduk) dapat dan kita nak juga penduduk duduk di sini dengan tenang tanpa kegusaran," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Disember lalu tidak memihak kepada penduduk dengan memerintahkan kesemua mereka mengosongkan tanah itu dalam tempoh 18 bulan.

Keputusan mahkamah memberikan pemilikan Kampung Setia Jaya kepada Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR).

Difahamkan, isu berkaitan penempatan penduduk di kampung berkenaan telah berlanjutan selama 30 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN
Isu penempatan penduduk Kampung Setia Jaya ke arah penyelesaian positif - Fahmi

SITI AISHAH BINTI MD ISA