Kedutaan Malaysia di Doha nasihatkan rakyat Malaysia terus berwaspada

Kedutaan Besar Malaysia di Doha


KUALA LUMPUR, 17 Mac –
Kedutaan Besar Malaysia di Doha menasihatkan rakyat Malaysia di Qatar supaya terus berwaspada dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan susulan perkembangan keselamatan semasa di rantau Teluk.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemas kini kedutaan susulan amaran Iran terhadap beberapa negara di rantau Teluk; ikuti perkembangan rasmi.
  • Kerajaan Qatar memaklumkan Angkatan Tentera sentiasa siap siaga dan mampu mempertahankan negara.
  • Elakkan berada di kawasan berisiko, sentiasa peka, patuhi arahan pihak berkuasa; hubungi Kedutaan 24 jam +974 3374 6733 atau mwdoha@kln.gov.my.

Dalam satu notis yang dimuat naik di laman Facebook rasminya pada Isnin, pihak kedutaan mengemas kini keadaan semasa di Qatar susulan amaran terbaharu yang dikeluarkan Iran kepada beberapa negara di rantau Teluk.

Ia berkata Kerajaan Qatar telah memaklumkan bahawa rakyat tidak perlu bimbang kerana Angkatan Tentera Qatar sentiasa dalam keadaan siap siaga dan mampu mempertahankan negara itu.

Selain itu, kemampuan Angkatan Tentera Qatar telah terbukti apabila berjaya menangkis hampir semua serangan serta meminimumkan kerosakan dan kecederaan, katanya.

“Walau bagaimanapun, semua rakyat Malaysia adalah dinasihatkan agar terus berwaspada dan sentiasa mengikuti arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa Qatar.

“Elakkan dari berada di luar bangunan atau kawasan berisiko serta sentiasa peka terhadap perkembangan di sekeliling,” menurut notis itu.

Sekiranya ada rakyat Malaysia yang diarahkan untuk berpindah dan memerlukan bantuan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Doha melalui talian +974 3374 6733 yang beroperasi 24 jam atau emel mwdoha@kln.gov.my. – BERNAMA