KUALA LUMPUR, 13 Disember- Program Jualan Rahmah Bergerak telah berkunjung ke 1,873 lokasi di seluruh negara, dengan mencatatkan kehadiran seramai 1.5 juta pelanggan.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, bagi menilai penerimaan masyarakat dan keberkesanannya, kajian impak turut dilaksana.
Jelasnya, seramai 1,600 responden terlibat termasuk mengenal pasti kekurangan dan cadangan penambahbaikan akan datang.
"Daripada 1,600 tersebut kita dapati bahawa 73 peratus responden bersetuju inisiatif Payung Rahmah dapat mengurangkan kos sara hidup mereka. Seramai 81 responden atau majoriti responden menyatakan mereka berpuas hati dengan pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah dan 64 peratus responden menyatakan Jualan Rahmah Bergerak telah memberikan impak terus kepada mereka," katanya di Dewan Negara, hari ini.
Penjelasan itu bagi menjawab soalan yang dibangkitkan Senator Dr. Lingeshwaran Datuk Seri R. Arunasalam .