fb fb fb fb fb

Penoreh getah ditemukan lemas di Tasik Biru

Pasukan bomba dan polis di tempat kejadian

KUNDANG, 28 Disember- Seorang penoreh getah ditemukan lemas selepas hilang ketika mandi bersama rakannya di Tasik Biru, sini, Selangor, petang tadi.

Penguasa Kanan Bomba II, Ketua Zon 6 Rawang, Ahmadi Muhamad Hasan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 3.32 petang.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Kepakaran daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut digunakan bagi mengesan mangsa di kawasan dasar tasik.

Mangsa, Zaman Jus, 34,  kemudian ditemukan kira-kira pukul 6.10 petang di kedudukan 10 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Ahmadi Muhamad berkata, mayat dijumpai pada kedalaman empat meter oleh pasukan penyelamat.

Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

SITI AISHAH BINTI MD ISA