
KULAI, 16 Mei- Usaha memperkukuh kesedaran Internet Selamat dipertingkatkan susulan peningkatan kes penipuan dalam talian yang merekodkan kerugian mencecah RM5.6 bilion antara 2023 hingga tahun lalu.
- Kementerian dan MCMC melaksanakan program Internet Selamat secara berterusan untuk memperluas capaian kesedaran kepada masyarakat.
- Penipuan pelaburan dianggap paling serius kerana kerugian besar, manakala penipuan e-dagang lebih kerap berlaku.
- Kempen menyasarkan komuniti setempat termasuk kampung dan Felda; lebih 900,000 pelajar di 10,000 sekolah telah menerima pendedahan keselamatan internet.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata pendekatan itu dilaksanakan secara berterusan melalui program kementerian serta kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperluas capaian kesedaran kepada masyarakat.
“Kes penipuan pelaburan merupakan yang paling serius kerana melibatkan kerugian besar dan sukar untuk mendapatkan semula wang yang hilang. Namun, kes penipuan berskala kecil seperti e-dagang sebenarnya lebih banyak berlaku,” katanya pada program Santuni MADANI di Felda Bukit Permai, di sini hari ini.
Beliau berkata kempen itu yang dilancarkan sejak tahun lalu memberi tumpuan kepada komuniti setempat termasuk kampung dan kawasan Felda.
Sejak tahun lalu hingga April tahun ini, lebih 900,000 pelajar di kira-kira 10,000 sekolah telah menerima pendedahan berkaitan keselamatan internet melalui program berkenaan.
Katanya, kempen turut dilaksanakan dalam pelbagai bahasa bagi memastikan mesej keselamatan siber dapat difahami oleh semua lapisan masyarakat.