Kemasukan lulusan UEC ke IPTA tertakluk syarat ketat

Perdana Menteri beramah mesra bersama para pelajar ketika hadir pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 Tahun 2026/ BERNAMA

IPOH, 16 MeiKemasukan pelajar lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) masih tertakluk kepada syarat ketat sebagaimana yang dikenakan terhadap lepasan sekolah di luar sistem pendidikan kebangsaan yang lain.

RINGKASAN BERITA AI
  • Syarat utama untuk layak ke IPTA ialah lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.
  • Syarat sama dikenakan ke atas sekolah antarabangsa, Maahad Tahfiz dan sekolah Arab tanpa penekanan Bahasa Melayu dan Sejarah.
  • Perdana Menteri menegaskan keputusan itu semasa merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 di Ipoh.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, antara syarat utama bagi melayakkan mereka mendapat tempat di universiti awam ialah wajib lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Sekarang ini sekolah antarabangsa kita letak syarat kan? Sekolah antarabangsa itu anak-anak Melayu ramai, anak-anak Malaysia. Jadi kita syaratkan yang sama.

“.. dan juga Maahad Tahfiz dan sekolah Arab yang dulunya mengajar kurikulum dalam bahasa Arab, tetapi tidak memberi penekanan tentang bahasa Melayu dan Sejarah, kita berikan syarat yang sama. Itulah sebabnya mengapa kita buat keputusan”, kata Datuk Seri Anwar.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55, di Ipoh, Perak.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata lebih 80 peratus pelajar aliran UEC kini memilih menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus mencerminkan perubahan positif ke arah integrasi dalam sistem pendidikan negara.

Perubahan itu, katanya, turut didorong oleh semangat perpaduan serta keterbukaan dalam sistem pendidikan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.