fb fb fb fb fb

Program eHATI disiasat, JAKIM & JAIS pantau dakwaan unsur sesat

Sepasang suami isteri didakwa berselindung di sebalik program motivasi rumah tangga untuk menyebarkan fahaman sesat kepada wanita bekerjaya yang menghadapi masalah perkahwinan

PUTRAJAYA, 11 Julai – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama pihak berkuasa agama negeri Selangor akan menjalankan siasatan terperinci terhadap program motivasi rumah tangga eHATI yang tular di media sosial, selepas ia dikaitkan dengan unsur ajaran sesat.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, dalam kenyataan media berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap maklumat berkaitan diperoleh dengan jelas dan sahih sebelum tindakan susulan diambil mengikut peruntukan undang-undang.

“JAKIM komited mengekang budaya songsang dan anasir menyimpang daripada terus mempengaruhi masyarakat, khususnya umat Islam di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru umat Islam agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan fahaman serta gaya hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam dan nilai budaya tempatan.

Terdahulu, media melaporkan mengenai sepasang suami isteri yang didakwa berselindung di sebalik program motivasi rumah tangga untuk menyebarkan fahaman sesat kepada wanita bekerjaya yang menghadapi masalah perkahwinan.

Orang ramai digesa menyalurkan maklumat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama sekiranya mengesan sebarang bentuk penyimpangan yang mencurigakan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE