fb fb fb fb fb

Program Citra Negaraku perkukuh nilai kenegaraan dalam kalangan mahasiswa

Majlis Pelancaran Program Citra Negaraku di ibu negara

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) melancarkan Program Citra Negaraku sebagai usaha memperkukuh nilai-nilai kenegaraan dan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan bahawa program seperti itu dan peranan aktif Sekretariat Rukun Negara (SRN) di IPT merupakan landasan penting dalam melatih mahasiswa sebagai penggerak utama dasar perpaduan di peringkat akar umbi.

"Saya percaya mahasiswa hari ini mampu mengangkat semangat kenegaraan dan menyemai perpaduan dalam tindakan melalui dialog, kolaborasi rentas kaum, serta penglibatan dalam isu-isu sosial. Komitmen ini perlu diteruskan agar perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi menjadi budaya hidup yang terpahat dalam sanubari setiap rakyat Malaysia", katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Pelancaran Program Citra Negaraku di ibu negara.

Sebagai permulaan, sebanyak enam institusi pengajian telah terpilih untuk melaksanakan Program Citra Negaraku dengan peruntukan geran sebanyak RM20,000 bagi setiap institusi.

Institusi-institusi berkenaan ialah UCSI College di Kuala Lumpur, Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh di Perak, Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail di Johor, Universiti College TATI di Terengganu, Kolej Geomatika Keningau di Sabah dan Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).

Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan perancangan kementerian itu untuk memperluas pelaksanaanprogram tersebut ke semua 193 buah Sekretariat Rukun Negara di seluruh negara menjelang tahun hadapan.

Usaha itu bertujuan menjadikan setiap SRN sebagai pusat rujukan nilai kenegaraan, semangat perpaduan serta penghayatan terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara.

Melalui pelaksanaan program ini, pelbagai aktiviti dan pengisian telah dirancang termasuk sesi Bicara Perpaduan, Ekspresi Perpaduan, program kebajikan SRN Prihatin serta aktiviti Jejak Rukun Negara.

"Kesemua inisiatif ini diharapkan dapat membentuk mahasiswa yang bukan sahaja memahami nilai perpaduan, tetapi turut menjadi ejen penyebar semangat kenegaraan dalam komuniti mereka," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI