fb fb fb fb fb

Program Cakna Kasih: DUN Sena bantu 500 keluarga tahun lalu

FOTO Pusat Khidmat DUN Sena

KANGAR, 7 Januari- Lebih 500 keluarga terdiri daripada asnaf, anak yatim, pesakit terlantar dan mangsa bencana telah menerima pelbagai sumbangan yang disalurkan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Sena sepanjang tahun lalu.

Sumbangan yang disalurkan berupa bakul makanan, barangan penjagaan diri, barangan keperluan pesakit termasuk kerusi roda dan katil serta wang tunai mengikut keperluan dan keadaan semasa setiap keluarga menerusi Program Cakna Kasih.

Menurut Exco Kebajikan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Marzita Mansor, pihaknya bersama kepimpinan komuniti sentiasa berusaha membantu penduduk yang memerlukan sumbangan barangan keperluan asas serta pelbagai bantuan lain bagi meringankan beban ditanggung dalam menjalani kehidupan seharian.

Justeru itu, penduduk setempat diharap sentiasa cakna dengan permasalahan dihadapi ahli keluarga atau jiran tertangga untuk memaklumkan permasalahan dihadapi ke pusat khidmat atau menerusi MPKK dan JPKKP agar bantuan dapat disalurkan segera .

Beliau memaklumkannya pada Program CAKNA KASIH di sekitar DUN Sena dimana pendekatan ziarah secara terus dari rumah ke rumah ini dilihat lebih proaktif serta dapat menyelami permasalahan dihadapi setiap keluarga yang di santuni.

Bagi tahun ini, lebih banyak keluarga akan di santuni bukan sahaja kepada mereka yang memerlukan bantuan tetapi juga berkaitan aspek pendidikan di kalangan anak-anak muda lepasan sekolah. 

Pendekatan menziarahi golongan yang memerlukan bukan sekadar menyampaikan sumbangan tetapi juga bagi mencari jalan penyelesaian agar golongan ini terus mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya daripada agensi berkaitan termasuklah MAIPs dan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pertubuhan bukan kerajaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE