KUALA LUMPUR, 25 Februari- 50 tahun bertahan sejak 1973, pertandingan Bintang RTM meneruskan legasi mencari dan mencungkil bakat vokal serta kredibiliti dan versatil dalam bidang nyanyian.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata program itu bertahan disebabkan usaha kumpulan produksi yang hebat.
"Apa yang pasti, apa yang kita tunjukkan pada malam tadi, ialah satu yang sangat hebat, kualiti nyanyian yang bagus, tetamu yang bagus dan ini menunjukkan keupayaan Bintang RTM itu boleh bertahan selama 50 tahun.
"Saya rasa itu yang paling penting, bukan semata-mata bertahan, tapi sentiasa kita menambah baik dari tahun ke tahun.
"Saya rasa, saya cukup berpuas hati, memang produksi yang sangat hebat," kata Suhaimi kepada pemberita di sini.
Tambah Suhaimi, pelbagai reaksi dan sokongan hebat diterima daripada peminat-peminat Bintang RTM 2024.
Ia sedikit sebanyak memberi impak positif kepada warga produksi yang bertungkus lumus dalam menjayakan program itu.
"Penonton yang melihat program tersebut sangat berpuas hati dan sambil itu saya dapat mesej daripada orang ramai yang menonton mengatakan bagus, bagus, bagus. Jadi saya sebagai warga RTM begitu bangga dan saya rasa harus juga kita kongsi dengan kawan-kawan kita daripada produksi yang telah bertungkus lumus, ya, lama untuk mencari bakat dan menggilap bakat serta menghasilkan satu produksi yang bagus," kata Suhaimi.
Artikel Berkaitan:
Roxy Ixzy dinobat sebagai juara Bintang RTM 2024