HULU SELANGOR, 11 Mei- Sebanyak 17 daripada 18 pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) hari ini ditutup tepat pukul 6.00 petang tadi.
Manakala satu lagi pusat pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang memiliki 40 orang pengundi telah ditutup awal pada pukul 2.00 petang tadi.
Peti undi kemudian akan dibawa petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.
Sementara itu, pengundi terakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) KKB bersyukur dapat menunaikan tanggungjawab mengundi meskipun pada saat-saat terakhir pusat pengundian itu ditutup.
"Ada urusan dekat sana 'so' (jadi) hendak datang juga mengundi macam mana pun. Semasa perjalanan, agak sesak sebab hujan lebat," kata pengundi Noor Helwa Abdul Rashid.
"Saya daripada Negeri Sembilan pergi ke Jinjang sekali dengan abang-abang. Habis kerja pada pukul 2.00 petang, tersangkut hujan lebat lepas itu sesak di Damansara. Itu jadi pengundi terakhir, cuba untuk sampai, sebab tanggungjawab," kata pengundi, Maryam Yusop.
Sementara itu, 77 peti undi akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.
Keputusan rasmi PRK KKB dijangka diumumkan SPR seawal pada pukul 9.00 malam ini.
Dalam pada itu, penutupan jalan di beberapa lokasi di sekitar pekan KKB sedang dilakukan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini.
Ia bagi memberi laluan kepada peti-peti undi dibawa dengan selamat ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi itu.
Penutupan dan lencongan membabitkan Jalan Merdeka, Jalan Abdul Hamid, Jalan Dato Muda Jaafar, Jalan Mat Kilau dan Jalan Kamarudin.