Presiden Perancis terima sambutan rasmi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut Presiden Perancis, Emmanuel Macron – BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 November – Presiden Perancis, Emmanuel Macron, disambut dengan istiadat rasmi bersempena dengan lawatan negara beliau ke Malaysia selama dua hari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Istiadat rasmi termasuk nyanyian lagu kebangsaan dan pemeriksaan kawalan kehormat oleh tiga pegawai dan 103 anggota 1 RAMD.
  • Mesyuarat dua hala dijangka menumpu pengukuhan kerjasama strategik serta pertukaran MoU dalam pertahanan, pendidikan tinggi, mineral kritikal dan peralihan tenaga.
  • Perancis mahu meluaskan kerjasama unsur nadir bumi untuk mempelbagaikan sumber bekalan dan mengurangkan kebergantungan pada pembekal tertentu.

Ketibaan Presiden Macron bersama isteri, Brigitte Macron pada pukul 9.25 pagi di perkarangan Bangunan Sultan Abdul Samad disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini merupakan kali pertama sambutan rasmi pemimpin luar dilaksanakan di bangunan ikonik tersebut.

Istiadat dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara sebelum Presiden Macron memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD), diketuai Mejar Adibadiuezshah Datuk Ahmad.

Presiden Perancis kemudian dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri.

Mesyuarat itu dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama strategik, disusuli pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan, pendidikan tinggi, mineral kritikal dan peralihan tenaga.

Antara tumpuan Perancis ialah memperluas kerjasama dengan Malaysia dalam sektor unsur nadir bumi bagi mempelbagaikan sumber bekalan dan mengurangkan kebergantungan kepada pembekal tertentu.

Turut hadir meraikan ketibaan, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.