Prasarana diarah beri keutamaan tangani isu gangguan perkhidmatan rel

Menteri Pengangkutan Anthony Loke/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 14 April – Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad supaya memberi keutamaan penuh dalam menangani isu teknikal yang kerap mengganggu operasi perkhidmatan rel di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gangguan perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel telah dibangkitkan kepada pihak pengendali.
  • Kerajaan sedar gangguan berterusan menjejaskan keyakinan dan menimbulkan kekecewaan pengguna.
  • Sebahagian gangguan berpunca daripada kegagalan komponen teknikal seperti suis dan sistem isyarat.
  • APAD diarahkan menyiasat gangguan berulang laluan Kelana Jaya; CEO Prasarana diminta kemukakan pelan pemulihan segera.

Beliau berkata, gangguan melibatkan perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel telah pun dibangkitkan kepada pihak pengendali, khususnya ketika kerajaan giat menggalakkan orang ramai beralih kepada penggunaan pengangkutan awam.

Menurut beliau, kerajaan menyedari gangguan berterusan boleh menjejaskan keyakinan pengguna, malah mengakui perasaan kecewa terhadap situasi yang berulang sejak kebelakangan ini.

“Sudah tentu tiada siapa mahu gangguan berlaku setiap minggu. Kita sedang berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan masalah ini,” katanya pada sidang media sempena Kempen Penggunaan Rel Bagi Menangani Peningkatan Kos Bahan Api.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan sebahagian gangguan berpunca daripada kerosakan teknikal yang tidak dijangka, termasuk kegagalan komponen seperti sistem suis dan isyarat yang boleh menjejaskan operasi tren serta fungsi stesen.

“Kadangkala kita beri tumpuan kepada sistem utama seperti tren dan isyarat, namun kerosakan kecil seperti suis boleh menyebabkan keseluruhan operasi terjejas,” jelasnya.

Terdahulu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah diarahkan menjalankan siasatan berhubung gangguan berulang perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya yang berlaku pada awal Ramadan.

Anthony Loke turut memaklumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana telah diminta memberikan penjelasan terperinci serta mengemukakan pelan tindakan pemulihan segera dalam mesyuarat pasca Kabinet.