
KANGAR, 27 Ogos – Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih MADANI (PPITM) yang melibatkan 104 buah sekolah seluruh Perlis bukan sekadar program pembangunan akademik,
tetapi program itu memberi tumpuan kepada pembangunan insan, pembentukan sahsiah, peningkatan potensi serta kesejahteraan murid dalam kalangan asnaf.
- Peranan FCoEE dan Jabatan Pendidikan Negeri memastikan pendidikan membina keyakinan, sahsiah dan masa depan murid asnaf.
- Pengetua dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid memberi sokongan bagi memastikan pelaksanaan program di peringkat sekolah berjalan lancar.
- Guru pembimbing menjadi penghubung antara FCoEE, pihak sekolah dan murid, menyampaikan maklumat serta menyalurkan maklum balas dan perkembangan.
Setiap murid mempunyai potensi yang berbeza sama ada menyerlah dalam akademik, mempunyai bakat kepimpinan, cemerlang dalam bidang sukan, seni dan kreativiti dan ada yang hanya memerlukan sedikit bimbingan, perhatian dan dorongan untuk mereka percaya kepada kemampuan diri sendiri.
Menurut Pengerusi Eksekutif Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin, pihaknya bersama Jabatan Pendidikan Negeri bertanggungjawab untuk memastikan murid-murid asnaf itu tidak hanya melihat pendidikan sebagai jalan untuk mendapatkan keputusan yang baik, tetapi sebagai proses untuk membina keyakinan, karakter dan masa depan mereka.
“Dalam melaksanakan PPITM, peranan pihak sekolah amat penting bagi memastikan program ini berjalan lancar dan mencapai matlamatnya dimana Pengetua dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid berperanan memberikan sokongan serta memastikan pelaksanaan program di peringkat sekolah berjalan dengan baik.
“Manakala, guru pembimbing menjadi penghubung antara FCoEE, pihak sekolah dan murid, khususnya dalam menyampaikan maklumat, membantu murid mengikuti program serta menyalurkan maklum balas dan perkembangan murid kepada pihak FCoEE.
“Menerusi pelbagai inisiatif di bawah PPITM, komunikasi dan kerjasama yang baik antara semua pihak dapat terus diperkukuh agar pelaksanaan PPITM dapat memberi manfaat yang maksimum kepada murid,” katanya.
Beliau memaklumkannya pada Majlis Pembukaan Sesi Libat Urus Strategik Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPTIM) Bersama Pengetua/ Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Dan Guru Pembimbing di Kangar.
Sesi itu juga menjadi wadah untuk membincangkan isu serta perkara berkaitan pelaksanaan program, mendapatkan pandangan daripada pihak sekolah dan seterusnya mengenal pasti tindakan
susulan yang bersesuaian.
Usaha kolaboratif tersebut amat penting bagi memastikan program PPITM dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesinambungan, seterusnya memberikan impak yang positif terhadap pembangunan sahsiah, potensi, pendidikan dan masa hadapan murid asnaf.