fb fb fb fb fb

Portal ASEAN GEMS dilancar, perkasa akses biasiswa pendidikan serantau

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir ditemui selepas merasmikan Forum Universiti ASEAN 2025 (AEF2025), di Petaling Jaya

PETALING JAYA, 24 Februari- Malaysia selaku Pengerusi ASEAN melancarkan portal ASEAN GEMS (Global Exchange for Mobility & Scholarship), sebuah platform transformasi yang akan berperanan sebagai pusat utama bagi peluang biasiswa di seluruh rantau ASEAN.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata inisiatif yang dianjurkan buat pertama kali itu bertujuan untuk meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi bagi pelajar dari negara-negara ASEAN.

Beliau turut berkata sebanyak 300 biasiswa diperuntukkan dengan jumlah nilai peruntukan sekitar RM17.5 juta.

"Kita juga mengumpulkan dana-dana yang boleh diberikan, dapat kita membantu pelajar-pelajar dari seluruh ASEAN khususnya. Ini termasuk mereka-mereka yang berpotensi tetapi tidak berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran.

Sehingga hari ini, kita telah berjaya mengumpul sebanyak lebih kurang AS$4 juta dolar. Usaha kita untuk memastikan supaya kita dapat tambahkan lagi dana ini bagi memastikan pelajar-pelajar yang mempunyai kebolehan, kemampuan itu dapat mereka lanjutkan pelajaran mereka," kata Dr. Zambry kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Forum Universiti ASEAN 2025 (AEF2025), di sini.

Tambah beliau, Malaysia memainkan peranan penting sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam merancang masa depan pendidikan di seluruh rantau ASEAN.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM