fb fb fb fb fb

Pondok tidak berdaftar diarah tutup sementara

Foto RTM

TUMPAT, 23 Oktober - Sebuah sekolah pondok di sini diarah tutup sementara oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) selepas didapati beroperasi tanpa pendaftaran sah.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Mohd Anis Hussein berkata, tindakan penutupan itu dibuat mengikut peruntukan undang-undang selepas didapati tidak pernah menghantar permohonan pendaftaran.

"Notis penutupan sementara diserahkan hari ini sehingga proses pendaftaran dilaksanakan dalam tempoh enam bulan.

"Tindakan diambil mengikut Seksyen 133 serta 135 Kaedah 37 Kaedah-Kaedah Pendaftaran dan Pengawalan Sekolah dan Institusi Pengajian Agama 1987," jelasnya.

Datuk Mohd Anis berkata, notis kesalahan mengajar tanpa tauliah dan mengelola guru agama tanpa kebenaran turut diserahkan kepada wakil madrasah untuk disampaikan kepada mudir yang dikenali sebagai 'Abuya'.

Notis bawah Seksyen 117 serta Seksyen 118 Enakmen MAIK Bilangan 4/1994 itu memerlukan Abuya untuk hadir ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dalam tempoh dua minggu bagi memberi keterangan lanjut.

"Tindakan ini dibuat bagi memastikan semua institusi pendidikan agama di Kelantan mematuhi peraturan dan mendapat tauliah sah sebelum dibenarkan beroperasi," katanya.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN