fb fb fb fb fb

POLISAS ungguli pertandingan NERIEC 2024

Foto RTM

KUANTAN, 21 Mei - Inovasi IoT Based Compact Mushroom House (Muchkit) daripada Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) mengungguli hadiah utama di pertandingan National Education, Research, Innovation and Entreprenuer Conference (NERIEC’24) Peringkat Kebangsaan di sini.

Program yang berlangsung bermula pada 5 Mei lalu itu, menerima sebanyak 69 penyertaan dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dari seluruh negara.

Menurut Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim, pertandingan yang dianjurkan kali kedua oleh pihaknya dengan kerjasama Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) itu merupakan platform peserta mengetengahkan bakat dalam bidang penyelidikan, inovasi dan keusahawanan.

Ia sekaligus memberi peluang buat pelajar TVET untuk memperkasakan kemahiran masing-masing sebelum berada di pasaran kerjaya sebenar.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 41 produk inovasi dipertandingkan tahun ini dengan memfokuskan keperluan untuk mengkomersilkan produk baharu.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena majlis penutup National Education, Research, Innovation and Entrepeneurship Conference 2024 (NERIEC’24) di POLISAS, Kuantan hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri (POLISAS), Datuk Abd Rahman Daud dan Timbalan Pengarah Unit Inovasi JPPKK, Dr Anwar Hamid@Pa.

Kesemua penyertaan dinilai oleh 24 orang juri dari beberapa buah Universiti Awam, Politeknik Malaysia, agensi kerajaan serta pihak industri.

Inovasi Muchkit yang diketengahkan POLISAS berjaya merangkul Anugerah Inovasi (Fizikal) dan juga turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas IR 4.0 bagi kategori sama.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD