
KANGAR, 19 November -Inisiatif turun padang ke sekolah di Perlis sedang dirangka bagi menangani kes buli dan gangguan seksual yang masih berlaku dalam kalangan pelajar.
- Rekod buli meningkat; 12 kes dilaporkan sehingga Oktober berbanding lima tahun sebelumnya.
- Kes gangguan seksual dicatatkan 81 sehingga Oktober, hampir setanding dengan 83 kes tahun lalu.
- Polis Perlis komited memastikan pelajar selamat daripada ancaman buli dan gangguan seksual di sekolah.
- Pegawai Perhubungan Sekolah diperkasakan; Ketua Polis bercadang turun lawat sekolah pada hari pertama persekolahan.
Menerusi inisiatif itu, pihak polis merancang mengadakan pertemuan dengan pelajar di sekolah pada tahun depan bagi meningkatkan kesedaran serta mencegah kejadian berkenaan.
Ketua Polis Perlis, DCP Hamzah Hashim berkata, sebanyak 12 kes buli direkodkan di negeri itu setakat Oktober lalu, berbanding hanya lima kes sepanjang tahun lepas.
Sementara itu, sebanyak 81 kes seksual direkodkan sehingga Oktober tahun ini, berbanding 83 kes sepanjang tahun 2025.
Katanya, polis Perlis komited memastikan pelajar di negeri itu sentiasa berasa selamat daripada ancaman buli dan gangguan seksual di persekitaran sekolah.
“Pegawai Perhubungan Sekolah merupakan salah satu platform yang kita gunakan dan akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa.
“Insya-Allah, pada pembukaan sesi persekolahan tahun depan, saya bercadang meluangkan masa untuk turun sendiri ke sekolah, khususnya pada hari pertama persekolahan, bagi mendekati pelajar dan memastikan mereka merasai kehadiran serta keprihatinan pihak polis terhadap keselamatan di sekolah,” katanya kepada pemberita selepas menutup sesi dialog awam bertajuk “Berani Bersuara, Cegah Gangguan Seksual dan Tangani Buli: Ke Arah Masyarakat Sejahtera” di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.
Penganjuran program townhall itu juga antara langkah pencegahan yang memberikan penerangan dan pemahaman kepada pelajar, ibu bapa dan guru.