ALOR SETAR, 5 Julai - Polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal yang dipercayai menunggang secara melawan arus di Kilometer 37 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Tol Hutan Kampung, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Penolong Pesuruhjaya Polis, ACP Siti Nor Salawati Saad memaklumkan aksi berbahaya itu tular di media sosial menerusi sebuah rakaman video berdurasi 23 saat yang menunjukkan seorang wanita berpakaian gelap menunggang motosikal secara bertentangan arah menuju ke Jitra sambil memegang telefon bimbit tanpa menghiraukan kenderaan dari arah bertentangan.
"Susulan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Trafik Kota Setar pada pukul 7.34 petang. Polis kini sedang menjalankan siasatan awal dan sedang bekerjasama dengan pihak Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi mengesan individu terbabit," katanya menerusi kenyataan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali penunggang tersebut diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Kota Setar, Sarjan Mohd Khairulnizam Abdul Aziz di talian 011-2835 0767, atau Balai Polis Trafik Kota Setar di talian 04-732 1222.
Kes disiasat di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas, yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM300 dan tidak melebihi RM2,000.
Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri dan orang lain.
“Perbuatan seperti yang tular ini amat tidak wajar dan polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja melanggar undang-undang jalan raya,” tegas Siti Nor Salawati.