KUALA TERENGGANU, 23 April- Sebanyak RM82.1 juta peruntukan diterima Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) untuk pelbagai program pembangunan di Terengganu.
Peruntukan daripada Kementerian Ekonomi itu termasuk Rolling Plan RMKe12, pengurusan hartanah serta inisiatif kemudahan rakyat dan projek khas.
Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Datuk Wan Adnan Wan Derahman berkata pihaknya menyatakan komitmen untuk kekal aktif dalam penyediaan perumahan, pembangunan kawasan industri, pengurusan hartanah dan pembangunan komuniti berdaya saing.
Terbaharu, pembangunan KP Perdana 8 yang akan dilancarkan pada suku ketiga tahun Ini melibatkan 140 unit kediaman rekabentuk moden kontemporari di Kuala Terengganu.
"Selain itu, sebanyak RM46 juta dana pembangunan telah diluluskan melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan termasuk daripada Kementerian Ekonomi dan MIDA, bagi negeri ini.
Dana tersebut merangkumi pelaksanaan kerja-kerja infrastruktur di kawasan industri yang telah sedia wujud seperti di Gong Badak, Kawasan Industri Kerteh dan Kawasan Industri Dungun," kata Datuk Wan Adnan kepada pemberita, hari ini.
Beliau memberitahu media selepas Majlis pelancaran logo rasmi sempena sambutan 60 Tahun Penubuhan PMINT dan Majlis Hari Raya disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini.
Dalam perkembangan sama, TTI bakal memperkenalkan tiga produk baharu bagi menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Pelancongan TTI 2025.
Ia melibatkan tambah baik monumen Dunia Islam, Galeri Maritim dan Lumina Life.
Sementara itu, PMINT mendapat kepercayaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi projek pemulihan perumahan.
Ia menerusi Bahagian Perkhidmatan Teknik yang berperanan sebagai badan pelaksana.
Jelas Datuk Wan Adnan, PMINT juga diberi tanggungjawab untuk menyempurnakan dokumen perundangan seperti Certificate Of Fitness for Occupation (CFO) atau Certificate of Completion and Compliance (CCC) yang tertangguh dengan peruntukan RM3.3 juta.
Inisiatif itu bukan sahaja menyelamatkan projek terbengkalai, tetapi juga memberi sinar harapan kepada pembeli.
Usaha itu secara tidak langsung menyokong aspirasi kerajaan untuk menyediakan perumahan yang selamat dan berkualiti kepada rakyat.