KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan, bahawa kerajaan sekali lagi akan memberi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas pada pertengahan Februari 2026.
"31 Ogos lalu, semua rakyat 18 tahun ke atas mendapat RM100 ringgit Penghargaan SARA. Lebih 70 peratus telah dibelanjakan dan sepertimana janji, baki SARA yang tidak dibelanjakan menjelang Disember akan diagih semula untuk program rakyat susah.
"Sukacita saya umumkan, kerajaan sekali lagi akan memberi 100 ringgit SARA kepada 22 juta rakyat Malaysia 18 tahun ke atas. Ini akan disalur pada pertengahan Februari yang boleh dimanfaat untuk persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baru Cina," kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu perdana menteri turut mengumumkan bagi tahun 2026, semua 9 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) turut menerima SARA sehingga RM100 setiap bulan atau RM1,200 setahun.
Manakala, 1 juta penerima STR di bawah eKasih menerima SARA sehingga RM200 sebulan atau RM2,400 setahun.
"Kategori bujang menerima RM600 iaitu RM50 sebulan melalui SARA. Kadar maksimum diterima isi rumah ialah RM4,600, iaitu pendapatan bawah RM2,500 sebulan dengan lima anak menerima STR RM2,200 dan SARA RM2,400," jelas beliau.
Sempena perayaan Deepavali oleh kaum India, bayaran STR Fasa 4 2025, yang dijadualkan untuk bulan November dan bernilai RM2 bilion, diawalkan dan disalurkan mulai 18 Oktober. Kerajaan juga bersetuju meluluskan diskaun tol 50 peratus untuk dua hari sempena hari perayaan Deepavali.
Tambah Datuk Seri Anwar, STR dan SARA bagi tahun 2026 berjumlah RM15 bilion dan peningkatan tersebut adalah hasil penjimatan yang diraih dari penyasaran subsidi seperti diesel dan RON95.