PM rasmikan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (duduk tengah) hadir ke Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (National Scam Response Centre – NSRC) di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)/ BERNAMA

CYBERJAYA, 3 Mac – Perasmian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) merupakan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam membanteras jenayah siber.

RINGKASAN BERITA AI
  • NSRC beroperasi sepenuhnya 24/7 sebagai pusat respons kebangsaan untuk tindakan pantas terhadap kes penipuan kewangan dalam talian.
  • NSRC berjaya memulangkan dana mangsa meningkat besar melalui proses earmarking dan menyelamatkan puluhan juta ringgit daripada sindiket.
  • Kerajaan meminda undang-undang untuk tindakan terhadap individu yang membenarkan akaun digunakan sebagai keldai akaun, sambil memupuk kesedaran awam.

Menteri Dalam Negeri Nasution Ismail berkata, pengoperasian pusat itu kini diperkukuh dan berfungsi sepenuhnya sebagai pusat respons kebangsaan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil terhadap kes penipuan kewangan dalam talian.

“Selain itu, NSRC turut mencatat lonjakan ketara dalam aspek pemulangan dana kepada mangsa melalui proses ‘earmarking’, iaitu daripada RM508,479 pada 2024 meningkat kepada kira-kira RM6.7 juta pada 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan di sini, hari ini.

NSRC merekodkan pencapaian signifikan sepanjang 2025 dalam usaha melindungi mangsa penipuan kewangan dalam talian dengan mengendalikan 146,167 panggilan aduan dan membekukan 138,915 akaun yang terlibat.

Menurut Datuk Seri Saifuddin sejumlah RM34.05 juta berjaya diselamatkan daripada jatuh ke tangan sindiket. Bagi Januari 2026 NSRC menerima 35,322 panggilan, dan sekiranya angka itu berterusan, jumlah keseluruhan bagi tahun ini dijangka meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Dalam pada itu aspek kesedaran awam perlu terus diperkukuh bagi mengelakkan orang ramai terjebak sebagai mangsa, termasuk tidak mudah terpedaya dengan tawaran lumayan atau bersikap tamak.

Kerajaan telah meminda Kanun Keseksaan, khususnya Seksyen 424, bagi membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang merelakan akaun bank mereka digunakan sebagai ‘keldai akaun’ untuk aktiviti penipuan.

“Ada individu yang terlibat merelakan dalam pengetahuan dia sebagai satu instrumen kewangan, instrumen pembayaran itu adalah satu kesalahan dari segi undang-undang,” katanya.