fb fb fb fb fb

PM mulakan lawatan kerja empat hari ke China

Foto Hiasan / Foto BERNAMA

TIANJIN, 31 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Tianjin petang ini bagi memulakan lawatan kerja empat hari ke China, bermula hari ini hingga 3 September susulan jemputan Presiden China, Xi Jinping untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Binhai Tianjin pada 5.27 petang.

Ketibaan beliau dan delegasi disambut Menteri Pertanian China, Han Jun, Pengerusi Jawatankuasa Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC) Tianjin serta Duta Besar China ke Malaysia, Quyang Yujing.

Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.

Perdana Menteri kemudian menerima kawalan kehormat daripada pasukan tentera China sebelum berangkat ke Pusat Konvensyen Meijiang Tianjin bagi menghadiri majlis makan malam gala yang dihoskan Presiden Xi.

Mengiringi beliau pada lawatan itu ialah isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Sepanjang lawatan, Datuk Seri Anwar dijadual menghadiri Sidang Kemuncak SCO sekali gus mencatat sejarah sebagai Perdana Menteri Malaysia pertama yang diundang ke sidang tersebut.

Pada 3 September, beliau akan menyertai acara Perarakan Hari Kemenangan di Dataran Tiananmen, Beijing sempena memperingati ulang tahun ke-80 tamatnya Perang Dunia Kedua.

Acara kemuncak lawatan menyaksikan Perdana Menteri mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping serta menghadiri pertemuan dua hala dan majlis makan malam khas yang dihoskan Perdana Menteri China, Li Qiang di Rumah Tamu Negara Diaoyutai.

Selain itu, beliau turut dijadual menyampaikan syarahan umum bertajuk 'Sovereign Interdependence: Building a Shared Future in Asia' di Universiti Tianjin pada 1 September.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, dengan nilai dagangan tahun lalu berjumlah RM484.12 bilion atau 16.8 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia sebanyak RM2.879 trilion.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE