fb fb fb fb fb

PM minta wujudkan Kursi Dr Syed Husin Ali di UM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 September- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir wujudkan Kursi Dr Syed Husin Ali di Universiti Malaya (UM).

Syed Husin antara tokoh politik yang berjuang isu kemiskinan rakyat semasa hayatnya dan merupakan Profesor di UM sebagai pakar dalam bidang sains sosial.

"Sebab itu saya telah sampaikan kepada saudara Zambry Abd Kadir Menteri Pendidikan Tinggi untuk segera mewujudkan dengan persetujuan keluarga Ali dan Hamid, wujudkan Kursi Husin Ali di fakulti mana-mana di Universiti Malaya.

"Kursi itu bukan sekadar membicara susuk Husin, tetapi imbauan mengenai curahan pemikiran beliau dalam banyak tajuk, kemiskinan rakyat, sejarah rakyat yang sebenarnya sedikit sebanyak menyimpang dari aliran pemikiran semasa", katanya.

Selain itu, Anwar juga turut meluluskan dana RM200,000 kepada Persatuan Sains Sosial Malaysia bagi membantu dan kajian karya kajian Allahyarham Prof Dr Syed Husin Ali.

"Untuk penulisan dan kajian khusus tentang beberapa karya beliau dan kajian yang boleh diselenggara oleh Persatuan Sains Sosial, saya nak teliti dulu, tetapi untuk sekarang ini boleh saya luluskan RM200,000 untuk tujuan itu dulu", katanya.

Syed Husin di antara tokoh yang memberi sumbangan besar dalam bidang sains sosial.

Anwar berkata demikian semasa ucapan di Majlis Memperingati Prof Dr Syed Husin Ali yang berlangsung di Institut Pengurusan dan Perkhidmatan Penyelidikan UM hari ini.

ROSLINA BINTI DIN