fb fb fb fb fb

PM mahu negara Islam tingkat kerjasama rancak industri halal

Anwar Ibrahim/UKAS

KUCHING, 29 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu negara Islam meningkatkan kerjasama dan tidak bersaing dalam merancakkan ekonomi terutama dalam industri halal.

Jelas beliau, industri halal mempunyai potensi luas dan Malaysia kini sedang menyasarkan nilai eksport halal sebanyak RM63 bilion menjelang 2025.

Malaysia juga mahu menjalin kerjasama dengan negara jiran terutama Indonesia dalam industri tersebut termasuk China, Vietnam dan Thailand.

Ia susulan negara berkenaan menunjukkan minat untuk menyokong pensijilan halal kerana potensi pasarannya di Timur Tengah, Eropah, Amerika Syarikat dan Afrika.

"Kami telah mengumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dalam kajian pertengahan penggal yang kami bentangkan di Parlimen (iaitu) cita-cita kami adalah untuk terus menerajui pasaran halal antarabangsa bagi nilai eksport halal sebanyak RM63 bilion," katanya ketika berucap pada majlis makan malam gala Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) 2023 di sini.

Dalam pada itu, peranan ulama dalam perkembangan perniagaan, aktiviti ekonomi dan kewangan syariah di peringkat global perlu terus diperkuat.

Naib Presiden Indonesia, Dr. Ma’ruf Amin mewakili Presiden, Joko Widodo pada majlis itu berkata, ulama perlu lebih terbuka dan menyokong perkembangan syariah berlandaskan prinsip Al-Quran dan hadis.

Jelas beliau, pemerintah di Indonesia meningkatkan peraturan ekonomi dan kewangan syariah termasuk di sektor jaminan produk halal dan perbankan syariah.

Tema dan program ekonomi syariah turut dimasukkan dalam rencana jangka sederhana dan panjang republik berkenaan.

Ma’ruf turut menyeru semua pemimpin yang hadir pada forum tersebut memperluas dan memperkuat kerjasama untuk mewujudkan ekonomi inklusif bagi mengembangkan ekonomi dan kewangan syariah di peringkat global.

Selain itu, memanfaatkan teknologi dan inovasi digital serta meningkatkan sumbangan ekonomi syariah sebagai penyokong pertumbuhan ekonomi mampan.

ARTIKEL BERKAITAN:
PM Anwar terima kunjungan hormat Naib Presiden Indonesia di Kuching

SITI AISHAH BINTI MD ISA