BANGI, 28 November- Tindakan tegas harus diambil terhadap beberapa insiden berunsur ekstremisme yang dilihat kian membimbangkan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, semua pihak perlu terus berusaha bagi meredakan keadaan melampau tersebut agar masyarakat lebih mengetahui undang-undang dan tidak mengambil tindakan luar rasional.
"Beberapa insiden baru-baru ini seakan-akan memerlukan kita meneliti sama ada perlu intervensi lebih mendalam.
"Saya amat terkesan dengan episod yang viral baru-baru ini (melibatkan) seorang anak muda cuba menikam pemandu Grab. Episod ini bagi saya agak merisaukan," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Sambutan HKHM 2023 bertema “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” di sini.
Majlis turut dihadiri Timbalannya, Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin, peserta perbarisan serta warga KKD.
Sementara itu, Fahmi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2023 menegaskan pentingnya perpaduan sebagai tonggak untuk merealisasikan harapan Malaysia Madani dan idealisme yang dibawa melalui tema sambutan HKHM 2023.
Ia bertujuan untuk membina identiti negara dan bangsa Malaysia seperti diidamkan sejak kemerdekaan.
"Agenda perpaduan nasional perlu disokong dan didukung semua pihak kerana Kerajaan Perpaduan mahu nilai-nilai saling menghormati dan mementingkan keadilan dimartabatkan dalam usaha membangunkan Malaysia Madani," ujarnya.
Mengenai kejayaan HKHM 2023, Fahmi menzahirkan rasa gembira dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung ke sambutan itu yang dihadiri oleh rakyat di seluruh negara termasuk pelancong asing.
"Ini menunjukkan bahawa perbezaan etnik, agama dan budaya bukan halangan untuk kita terus kekal bersatu padu demi negara tercinta.
"Paparan yang ditampilkan semasa sambutan Hari Kebangsaan itu juga membuktikan rakyat terutamanya generasi muda tahu dan memahami pentingnya kita meraikan Hari Kebangsaan sebagai negara yang merdeka," tambahnya.
Jelas Fahmi, kejayaan sambutan juga dirasai apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyantuni rakyat selepas berakhirnya program sambutan tanpa sebarang protokol.