KUCHING, 28 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada Naib Presiden Indonesia, Dr Ma'ruf Amin yang sedang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Sarawak.
Pertemuan sekitar 20 minit berlangsung di sebuah hotel terkemuka di bandaraya sini.
Kedua-dua pemimpin tersebut berada di Sarawak bagi menghadiri majlis makan malam gala Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) 2023, malam ini.
Sementara itu, menerusi perkongsian di Facebook, Anwar menyifatkan pertemuan itu merupakan peluang bagi kedua-dua pihak untuk mengukuhkan tekad dan muafakat antara dua negara serumpun.
Ia juga menjadi ruang untuk berbincang pelbagai perkara yang menjadi kepentingan bersama, termasuk dalam bidang pelaburan, perdagangan dan tenaga kerja Indonesia.
Tambah Anwar, Malaysia dan Indonesia juga senada untuk memastikan isu berbangkit melibatkan kedua-dua negara dapat diselesaikan secepat mungkin.
"Bapak Ma’ruf Amin turut menyentuh isu Palestin di mana beliau memaklumkan mengenai Hospital Indonesia di Gaza yang terpaksa di kosongkan akibat diserang rejim Zionis Israel.
"Saya juga maklumkan telah memberi kenyataan tegas terkait isu Palestin bersama Bapak Presiden Jokowi (Joko Widodo) di hadapan Presiden (Amerika Syarikat), Joe Biden sewaktu menghadiri sidang APEC 2023 di San Francisco," katanya.
Jelas beliau, Dr Ma’ruf Amin turut memuji Kerajaan Madani yang kini bertambah kukuh dan stabil.
"Dalam pertemuan ini Bapak Ma’ruf Amin turut memuji Kerajaan Madani yang kini bertambah kukuh dan stabil seraya berharap Malaysia dan Indonesia dapat bergerak sederap pada masa mendatang.
Terdahulu, Perdana Menteri bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tiba di sini kira-kira pukul 6.00 petang tadi.