PM komited bantu selesai isu tanah Orang Asli Kampung Sungai Cot

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam membantu menyelesaikan pertikaian tanah melibatkan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot di Maran, Pahang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertikaian tanah Kampung Sungai Cot berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Pahang menurut Perlembagaan Persekutuan.
  • Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa mengarahkan Kerajaan Pahang dalam urusan tanah; penyelesaian terletak pada bidang kuasa negeri.
  • Kerajaan Pahang diseru segera laksanakan tanggungjawab supaya hak dan kebajikan Orang Asli diperoleh penyelesaian adil, bermaruah dan tanpa penangguhan.

Menerusi kenyataan, Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar sebagai Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata Perdana Menteri akan mengangkat isu tersebut kepada perhatian Kerajaan Pahang bagi membolehkan penyelesaian dicapai segera.

“Berhubung pertikaian tanah di Kampung Sungai Cot, Perdana Menteri telah menegaskan bahawa perkara tersebut akan dibawa ke perhatian Kerajaan Pahang memandangkan urusan pentadbiran dan pemilikan tanah berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada Kerajaan Pahang dalam urusan tanah. Namun begitu, beliau tidak pernah berdiam diri. Beliau akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dengan mengangkat isu ini kepada Kerajaan Negeri agar penyelesaian dapat dicapai segera secara adil, berhemah dan berlandaskan undang-undang,” katanya.

Muhammad Kamil berkata dalam keghairahan segelintir pihak meraih keuntungan politik, fakta serta prinsip perlembagaan tidak seharusnya diputarbelitkan sehingga mengelirukan rakyat kerana tindakan itu bukan sahaja tidak membantu masyarakat orang asli bahkan boleh melambatkan usaha mencari penyelesaian.

“Justeru, Kerajaan Pahang diseru agar tidak lagi berlengah dan segera melaksanakan tanggungjawab di bawah bidang kuasanya. Hak serta kebajikan masyarakat orang asli tidak boleh terus terkesan akibat kelewatan membuat keputusan. Mereka berhak memperoleh penyelesaian yang adil, bermaruah dan tanpa penangguhan,” katanya menerusi kenyataan sama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.