
SEREMBAN, 23 Julai – Peraturan dan perundangan sedia ada di setiap kementerian dan jabatan akan diteliti semula dalam usaha mengurangkan kerenah birokrasi serta mempercepat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
- Penelitian menyeluruh bagi menilai relevansi dan keperluan penambahbaikan peraturan.
- Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam fokus menambahbaik atau menggantikan prosedur tidak relevan.
- JPA diberi amanah menerajui pelaksanaan melalui Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867).
- Sasaran termasuk pengurangan beban birokrasi sekurang-kurangnya 25 peratus, prinsip One In One Out dan laporan setiap tiga tahun.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, penelitian secara menyeluruh dilihat sebagai medium dalam menentukan sama ada sesuatu peraturan masih relevan atau memerlukan penambahbaikan.
Langkah itu menjadi antara fokus utama Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam bagi memastikan prosedur yang tidak lagi relevan ditambah baik atau digantikan dengan mekanisme lebih berkesan.
“Kita ingin menilai sama ada peraturan sedia ada membebankan masyarakat atau birokrasi yang diamalkan terlalu rumit. Perkara itulah yang akan kita reformasi dengan menggantikannya kepada peraturan dan akta yang lebih memberi manfaat serta memudahkan urusan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Dialog Aspirasi Perkhidmatan Awam MADANI di Negeri Sembilan Siri 2 2026 di sini hari ini.
Reformasi itu dilaksanakan secara menyeluruh dengan semua kementerian dan jabatan perlu menilai semula peraturan sedia ada bagi penambahbaikan
Kerajaan juga mengamanahkan JPA menerajui langkah progresif menerusi Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867).
Pelaksanaannya melibatkan sasaran mengurangkan sekurang-kurangnya 25 peratus beban birokrasi, prinsip ‘One In, One Out’ bagi peraturan serta pembentangan laporan keberkesanan sistem penyampaian kerajaan setiap tiga tahun.