
KUALA LUMPUR, 2 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Iran menghentikan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan serta segera kembali kepada pendekatan diplomasi dan persefahaman yang dicapai pada Jun lalu.
- Peningkatan ketegangan berisiko mengheret Asia Barat ke dalam konflik yang lebih besar dan menjejaskan negara lain di rantau.
- Pihak berkuasa besar mesti menahan diri, menghormati kedaulatan dan tidak mendedahkan orang awam kepada konflik.
- Langkah ekonomi yang memburukkan beban orang awam menghalang diplomasi; penyelesaian hanya melalui pendekatan politik dan diplomatik.
Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar menegaskan, peningkatan semula ketegangan antara kedua-dua negara itu membimbangkan, terutama apabila pertukaran serangan terbaharu turut melangkaui pihak yang terlibat secara langsung sehingga menjejaskan negara lain di rantau berkenaan.
Menurut beliau, perkembangan itu berisiko mengheret Asia Barat ke dalam konflik yang lebih dahsyat.
“Pihak yang mempunyai keupayaan terbesar untuk membentuk perkembangan keadaan berkenaan memikul tanggungjawab khusus untuk menahan diri dan mencegah peningkatan konflik.
“Kedaulatan negara-negara lain tidak boleh diketepikan, manakala tiada objektif ketenteraan yang boleh menghalalkan tindakan mendedahkan orang awam kepada konflik yang semakin meluas,” katanya.
Perdana Menteri juga menegaskan, langkah ekonomi yang menambahkan kesusahan kepada orang awam serta menghalang usaha diplomasi berisiko memburukkan lagi krisis, bukannya menyelesaikannya.
“Konflik ini pada akhirnya hanya boleh diselesaikan melalui pendekatan politik dan diplomatik.
“Dunia tidak seharusnya dipaksa menanggung akibat daripada peperangan serantau yang lebih luas,” katanya.
Beliau turut menegaskan semua pihak perlu mengutamakan penyelesaian secara politik dan diplomatik bagi mengelakkan konflik yang lebih besar tercetus di rantau berkenaan.