KUALA LUMPUR, 19 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dan sesi dialog serta makan malam bersama warga Malaysia di San Francisco, Amerika Syarikat.
Dalam perkongsian menerusi Facebooknya, Anwar berkata, beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berbesar hati untuk bertemu dan berdiskusi bersama warga termasuk pelajar-pelajar Malaysia disana.
Anwar turut berkongsi usaha yang giat dilakukan oleh kerajaan di bawah kepimpinannya bersama-sama menteri kabinet lain.
"Ruangan ini juga saya minta menteri kabinet yang bersama untuk jelaskan usaha mereka menerusi kementerian masing-masing.
"Menginjak setahun usia Kerajaan Madani, saya tegaskan bahawa kita akan lakukan lebih banyak inisiatif dan dasar yang menguntungkan rakyat keseluruhan.
"Saya juga sempat menjawab pelbagai persoalan dan isu yang diajukan antaranya terkait ekonomi, prestasi ringgit, penghijrahan bakat tempatan dan pelaksanaan inisiatif kerangka Ekonomi Madani," katanya.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berada di San Francisco California bersempena Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Turut hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan beberapa delegasi lain.