
PUTRAJAYA, 24 Ogos- Parti Keadilan Rakyat (PKR) melihat keperluan merangka strategi baharu bagi menghadapi pilihan raya akan datang termasuk melibatkan semula tokoh lama parti itu.
- Anwar gesa ambil semula otai seperti Tian Chua dan Dr Xavier serta merangkul seluruh kekuatan parti, tegasnya di Kongres PKR.
- Fahmi nyatakan ini antara strategi yang akan dimanfaatkan ketika hadir pada penyerahan sumbangan Human Graphic sempena Sambutan Hari Kebangsaan.
- Fahmi mengesahkan pertemuan Amirudin Shari dengan Perdana Menteri; Amirudin kata mungkin bincang kerjasama PH-BN untuk PRN Melaka.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkara tersebut antara strategi yang boleh dimanfaatkan parti susulan hasrat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) untuk menghimpunkan seluruh kekuatan yang ada.
“Pengerusi PH (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebut waktu Kongres PKR di Melaka Ahad minggu lalu, bahawa kita perlu berusaha bukan hanya mengambil semula otai-otai, orang-orang lama seperti (bekas naib presiden PKR) Tian Chua dan Dr Xavier dan ramai lagi.
“Tapi juga, kita perlu merangkul seluruh kekuatan. Jadi saya lihat ini salah satu strategi yang akan dimanfaatkan,” katanya.
Datuk Seri Fahmi berkata demikian selepas sesi penyerahan sumbangan penajaan oleh rakan strategik kepada peserta Human Graphic sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.
Mengulas pertemuan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan Perdana Menteri pada Ahad, beliau mengesahkan pertemuan itu berlaku.
“Memang ada pertemuan dalam masa sehari dua ini, banyak perjumpaan dan mesyuarat. Namun, saya tidak dimaklumkan mengenai perkara yang dibincangkan,” katanya.
Sabtu lepas, Datuk Seri Amirudin memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri yang berkemungkinan membincangkan kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.