fb fb fb fb fb

Pindaan Akta Kanak-Kanak masih dalam proses, fokus perketat perlindungan- Nancy

Datuk Seri Nancy pada Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak Peringkat Sarawak 2025 / FOTO FB Hajah Nancy Haji Shukri

LUNDU, 19 Mei- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kini dalam proses meminda Akta Kanak-Kanak bagi memperketat dan memperluas perlindungan terhadap golongan itu, selaras dengan keperluan semasa.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pindaan tersebut akan memperincikan elemen-elemen berkaitan penderaan supaya masyarakat lebih jelas mengenal pasti tanda-tanda penderaan terhadap kanak-kanak.

“Kita cuba seketat mungkin supaya mereka rasa lebih selamat. Namun, kerana ia masih dalam proses, saya tidak dapat berkongsi perinciannya buat masa ini bagi mengelak isu berkaitan kelulusan di Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak Peringkat Sarawak 2025 hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy menjelaskan kebanyakan kes penderaan yang dilaporkan melibatkan unsur fizikal, namun penderaan bukan hanya bermaksud dipukul semata-mata.

“Kadang-kadang penderaan fizikal berlaku dalam bentuk yang orang anggap remeh seperti cubitan atau kesan garisan yang tidak disedari. Inilah yang kita mahu masyarakat dan kanak-kanak lebih faham,” jelasnya.

Beliau turut menekankan kepentingan kesedaran dalam kalangan orang dewasa supaya mereka boleh mengenal pasti tanda penderaan dan bertindak sewajarnya bagi melindungi mangsa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE