KUCHING, 1 November - Kerajaan Sarawak mengesahkan perbincangan antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) mengenai pelaksanaan pengaturan Pengagregat Gas Tunggal di bawah Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016 kini masih dalam proses perbincangan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi menegaskan bahawa di bawah Ordinan tersebut, PETROS dilantik sebagai Pengagregat Gas Tunggal.
"Tiada pengagregat gas lain di negeri ini," katanya menerusi kenyataan itu pada Khamis.
Dalam kenyataan berasingan, PETRONAS juga mengesahkan perbincangan mengenai pelaksanaan DGO masih berjalan.
Katanya, perbincangan yang berterusan bertujuan untuk menyelaraskan kepentingan dan objektif semua pihak.
"Pada masa yang sama ia dapat mengekalkan integriti pengaturan kontrak sedia ada dan memastikan komitmen kepada pelabur serta pelanggan dapat terus dipenuhi," menurut kenyataan itu.
BERITA BERKAITAN