fb fb fb fb fb

PETRA tetapkan strategi galakkan penggunaan tenaga boleh baharu negara

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR, 1 Ogos-Kerajaan menetapkan pelbagai strategi bagi menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) sebagai sumber penjanaan bekalan elektrik utama di Malaysia.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai program yang menyasarkan pengguna komersial dan industri.

"Bagi kategori pengguna komersial dan industri, pemasangan sistem solar PV boleh dilakukan di bangunan dan premis mereka di bawah Program Net Energy Metering (NEM) NOVA.

"Program ini membolehkan pengguna menjana bekalan elektrik TBB untuk kegunaan sendiri dan mengeksport lebihan tenaga kepada sistem grid sebagai kredit tenaga dan layak menikmati insentif pelepasan cukai di bawah skim Green Investment Tax Allowance",katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Lim Pay Hen mengenai usaha kerajaan menggalakkan penglibatan swasta dalam tenaga boleh diperbaharui dan sasaran kerajaan dalam jangka panjang.

Turut dilaksana Program Solar For Rakyat Incentive Scheme, Green Electricity Tariff Programme, Malaysia Green Attributes Trading Scheme, Corporate Green Power Programme dan juga Corporate Renewable Energy Supply Scheme bagi meningkatkan penggunaan serta akses kepada bekalan TBB tersebut.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD