fb fb fb fb fb

PETRA-Johor pastikan bekalan air,tenaga cukup buat pelabur

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadilah Yusof dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meninjau ke Empangan Kahang dan Loji Rawatan Air (LRA) Kahang di Kluang hari ini

Kluang, 8 September – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan menjalinkan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Johor bagi memastikan bekalan air dan tenaga, termasuk tenaga boleh diperbaharui, mencukupi untuk keperluan pelabur di negeri itu.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kedua-dua pihak kini memberi tumpuan utama kepada jaminan bekalan air dan tenaga serta kelestarian alam sekitar.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha itu juga bertujuan memastikan kos penyediaan bekalan tersebut mampu ditanggung oleh masyarakat.

"Perancangan ke hadapan yang dibuat oleh kerajaan Johor memastikan isu bekalan air di kawasan ini tidak akan berlaku lagi, memandangkan Johor merupakan salah satu tumpuan pelabur, terutama di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ)," katanya selepas melakukan tinjauan ke Empangan Kahang dan Loji Rawatan Air (LRA) Kahang di Kluang hari ini.

Turut hadir dalam lawatan itu Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

LRA Kahang yang berkapasiti 40 juta liter sehari (JLH) dibina dengan kos keseluruhan sebanyak RM149 juta itu mula beroperasi pada April lalu.

Ia termasuk pembinaan tangki imbangan dan paip yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran bekalan air di Kluang dan kawasan sekitarnya.

LRA Kahang membekal air kepada 21,500 akaun yang memanfaatkan kepada kira-kira 86,000 pengguna di daerah Kluang dan kawasan sekitarnya.

"Purata pengeluaran semasa LRA Kahang adalah antara 20 hingga 23 juta liter sehari bagi memenuhi keperluan bekalan air di kawasan Sembrong Barat dan Sembrong Timur.

"Ini juga membantu mengurangkan impak gangguan bekalan air di kawasan penghujung sistem WSS Sembrong Barat seperti di Felda Bukit Permai, Renggam, Layang-Layang, dan Gugusan Murni Jaya di daerah Kluang," katanya.

Tambah beliau, Ranhill SAJ Sdn Bhd telah dilantik sebagai operator air bagi loji ini dan keseluruhan sistem bekalan air di negeri Johor.

GRACE AISYAH KEDAYAN