
HULU TERENGGANU, 2 Julai – Penduduk Kampung Baong di Telemong, Hulu Terengganu memanfaatkan musim durian tahun ini dengan menganjurkan Pesta Makan Durian bagi mempromosikan hasil dusun tempatan.
- Penganjuran program menarik pengunjung dari dalam dan luar daerah, merancakkan ekonomi serta pelancongan komuniti.
- Durian dusun tidak menggunakan baja kimia, hanya baja semula jadi; hasilnya enak dengan isi kuning dan putih.
- Pihak berkuasa berharap dusun dibangunkan sebagai destinasi agropelancongan, memerlukan sokongan agensi untuk pemulihan dan pengurusan.
Penganjuran program itu sekali gus menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar daerah.
Program anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Baong itu berlangsung di dusun durian kampung berkenaan bermula pukul 10.30 pagi.
Menurut penduduk kampung yang juga pemilik kebun, Daud Salleh, pokok durian di dusunnya tidak menggunakan baja kimia.
“Ini durian di sini kami tidak menggunakan baja kimia, sebaliknya hanya menggunakan baja semula jadi yang sedia ada kerana tanah di kawasan bukit dan cerun ini sememangnya subur,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang juga pemilik kebun, Lobiyah Ismail berkata, durian Kampung Baong terkenal dengan rasanya yang enak serta mempunyai isi berwarna kuning dan putih.
“Durian di sini terkenal dengan rasanya yang enak serta mempunyai isi berwarna kuning dan putih, namun isi berwarna kuning lebih banyak ditemukan berbanding isi berwarna putih,” katanya,
Turut hadir memeriahkan program ialah Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Rozi Mamat.
Datuk Rozi berharap Kampung Baong dapat dibangunkan sebagai destinasi agropelancongan berasaskan buah-buahan bermusim, khususnya durian.
Selain memberi peluang kepada pengunjung menikmati pengalaman makan durian terus di dusun, inisiatif itu turut meningkatkan pendapatan pekebun tempatan.
“Kalau boleh, saya harap ada kerjasama daripada agensi seperti Jabatan Pertanian untuk membantu mengurus dan memulihkan dusun-dusun durian lama ini. Dusun tersebut boleh dibangunkan sebagai produk agropelancongan di negeri Terengganu.
“Durian Baong yang baharu ini sememangnya sudah dikenali ramai dan orang ramai juga mengetahui kualiti buahnya. Cuma, dusun milik penduduk kampung masih diuruskan secara tradisional,” katanya.
Tambahnya, penganjuran program itu juga diharap dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil, di samping merancakkan aktiviti ekonomi dan pelancongan komuniti di Kampung Baong.
Pesta Makan Durian Kampung Baong turut menjadi platform mempromosikan hasil pertanian tempatan serta memperkukuh semangat gotong-royong dan kerjasama dalam kalangan komuniti setempat.