
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) di Wilayah Iskandar Malaysia kini memasuki fasa untuk memuktamadkan pembiayaan sebelum perjanjian konsesi dimeterai dan kerja pembinaan dimulakan.
- Terma pembiayaan, komitmen kewangan kerajaan dan mekanisme pembayaran balik sedang dimuktamadkan untuk dibawa ke Jemaah Menteri bagi kelulusan.
- Projek dilaksanakan melalui RFP; empat konsortium telah menerima Surat Niat pada 5 Mei.
- Kerajaan dan kerajaan negeri merangka pelan penyuraian trafik serta integrasi pengangkutan: SBST, DRT, lorong khas bas dan integrasi rel KTMB.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, rundingan berkaitan kaedah pembiayaan, komitmen kewangan kerajaan serta mekanisme pembayaran balik sedang dalam peringkat rundingan sebelum dibawa untuk kelulusan Jemaah Menteri.
“Pada masa ini, kaedah pembiayaan terperinci dan jumlah komitmen kewangan sebenar serta mekanisme pembayaran balik dalam tempoh konsesi adalah di peringkat rundingan dan sedang dimuktamadkan.
“Terma-terma yang dipersetujui kelak akan diangkat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum perjanjian konsesi ditandatangani. Projek E-ART ini dijangka akan disiapkan dalam tempoh empat tahun dari Surat Setuju Terima dikeluarkan,” katanya.
Jelas beliau, projek ini dilaksanakan secara Request for Proposal (RFP) melalui tender terbuka dan empat konsortium terlibat telah menerima Surat Niat (Letter of Intent – LOI) pada 5 Mei lalu.
Loke turut memaklumkan pihaknya bersama kerajaan negeri juga telah merangka pelan penyuraian trafik untuk pengukuhan sistem pengangkutan awam sedia ada.
Melalui penyediaan perkhidmatan Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST)Perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT), Lorong Khas Bas serta Integrasi Perkhidmatan Rel KTMB.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir. Dr Wee Ka Siong di Dewan Rakyat.