fb fb fb fb fb

Peserta RXZ Fighter maut langgar pembahagi jalan

Penunggang motosikal maut selepas terbabas di KM166.6 Lebuh Raya Pantai Timur, dekat Maran pagi tadi/Foto PDRM Maran

MARAN, 1 Mac - Hasrat seorang lelaki untuk menyertai acara RXZ Fighter Gathering di Kuantan berakhir tragedi apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 166.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Maran.

 
Dalam kemalangan pukul 10.55 pagi itu, mangsa, Muhammad Lokman Abdul Aziz, 29, beralamat dari Kampung Talang Masjid, Kuala Kangsar Perak meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
 
Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintenden Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata mangsa bersama rakan-rakannya berkonvoi dari Kuala Kangsar menghala ke Kuantan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri.
 
"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat," katanya menerusi kenyataan hari ini.
 
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 
Jelasnya lagi, berdasarkan keterangan rakan-rakannya,semasa kejadian mangsa berada di belakang sekali ketika mereka berkonvoi menunggang 14 motosikal ke lokasi acara di Kuantan.
 
Acara RXZ Fighter selama dua hari itu bermula hari ini adalah julung kali diadakan di Pahang bagi mengumpul peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara.

GRACE AISYAH KEDAYAN